Jan 21, 2011

Apa bezanya nikah dengan tak?





Aku melihat disekelilingku, suasana Islam semakin hilang. Keindahan Islam makin membatu. Kelazatan Islam menguncup terusan. Mengapa sebegini hina kedudukan Islam kini, dicaci oleh penganut agama sendiri tak kira masa dan situasi. Tak tahu mana murka dan rahmat Ilahi. Aku pasti yang Muslim itu tahu, apa yang aku perkatakan ini.

Berpegangan tangan seakan tangan itu dilekatkan dengan sejenis alat yang tidak akan kunjung tibanya dilepas bebaskan. Tangan itu tak mampu lagi bernafas dalam jiwa seorang Islam. Jika ianya berjaya bersuara, mungkin kau tak berani lagi menyentuh milik yang bukan halal bagimu. Namun, tangan itu bersatu jua walau ijab dan qabul tak pernah nyata. Apakah engkau terlalu mulia sehingga menyentuhnya tanpa izinNya yang Esa? Inikah yang dimaksudkan dengan couple dalam Islam? Jika ya, apakah bezanya nikah dengan tidak?

Berjalan berduaan di pasar malam, jika mahu yang lebih mewah ke shopping complex atau mall yang berdekatan. Makan berhadapan, membiarkan si kumbang menyaksikan segala permata yang ada. Tiada satupun yang disimpan buat suami tersayang kelak. Begitu juga si kumbang murahan, membiarkan sahaja kemanisan itu berlaku tanpa akad yang sah dan dosa yang mendaki tinggi dalam buku amalan. Sama-sama membiarkan zina-zina itu berlagu rancak di pintu yang mengawal segala tindak-tanduk insan. Dating itu cukup indah buat hati-hati yang sakit. Masakan ada bahagia jika caranya salah. Matlamat tak pernah sekalipun menghalalkan cara walaupun  seorang insan yang berpangkat Nabi. Inikah yang dimaksudkan dengan couple dalam Islam? Jika ya, apakah bezanya nikah dengan tidak?

Bila tiba hari lahirnya sang kekasih, jika mahu segala kebahagiaan dunia ingin ditangkapnya asal senyum dan tawanya mengukir semanis-manisnya. Tarikh lahir dipilih untuk sama-sama menambah murka yang Esa, namun ibadat hanya dilupa. Menerima tak mengapa, namun jika hati itu tak berjaya dikawal sebaiknya, batinmu itu akan ditanya di sana kelak. Inikah yang dimaksudkan dengan couple dalam Islam? Jika ya, apakah bezanya nikah dengan tidak?

Tika majlis formal berlangsung, kau dan dia tak pernah berjauhan. Mengenakan pakaian sedondon bak sepasang mempelai yang halal namun masih haram, gembira dan terus gembira. Senyum dan tawa tak pernah lekang pada bibir dia dan kamu. Istilah yang dikatakan kawan itu seakan bertukar menjadi suami isteri, tapi hakikatnya hanyalah kawan. Bangga dengan pasangan sendiri, malu pada Ilahi sudah mati. Apakah itu yang dibayar pada Ilahi yang menciptakan. Oh, bahagianya jiwa! Itukah bahagia yang dicari? Alangkah ruginya diri. Inikah yang dimaksudkan dengan couple dalam Islam? Jika ya, apakah bezanya dengan nikah atau tidak?

Mengapa hati yang menerima Islam seakan tidak mengenali Islam. Dari segi pakaian, kelakuan, tutur kata dan segala apa yang terkeluar tidak mencerminkan Islam. Tidakkah mencari Islam itu wajib bagi setiap yang bergelar Muslim? Apakah kau turut sama menghina Islam sebagaimana kaafirun? Apakah tidak ada lagi sayang pada Islam? Jika dahulu Islam dipegang dengan darah dan peluh juga lelah yang teramat, bagaimana kau mempertahankannya?

Budaya apa sebenarnya yang kalian praktikkan? Islamkah begitu? Itukah sebenar-benar Islam yang dibanggakan? Fikirkah kalian apa yang difikirkan hati-hati yang belum mempercayakan mana-mana agama? Fikirkah kalian apa persepsi mereka kepada hati-hati yang sedia berbakti kepada Islam? Fikirkah kalian akibat yang berlaku implikasi daripada apa yang kalian lakukan?

Jika itu jalan yang dibentuk, lahirlah hati-hati yang ingkar. Lahirlah nafas-nafas yang mati. Lahirlah jiwa-jiwa yang bebas. Lahirlah segala masalah-masalah sosial. Dan yang paling penting, lahirlah budaya menyalahkan orang lain, mengapa kau tidak sama-sama menyebarkan Islam? Apakah kau terkeluar dari dipersoalkan? Kau tahu jawapannya!

No comments:

Post a Comment