RAMAI menangis ketika menghadapi sakaratul maut. Apakah makna tangisan itu? Sebenarnya, tangisan itu membawa makna manusia tidak mahu berenggang dengan dunia kerana begitu cintakannya mengalahkan cinta kepada Allah dan mengatasi keinginannya untuk kembali bertemu Allah.
Dia benci kepada kematian, padahal itu perjumpaan istimewa antara hamba dengan Allah. Mereka mahu setiap hari adalah hari yang gembira seolah-olah menyambut kelahiran baru. Padahal, kelahiran dan kematian tidak akan membawa sebarang makna kepada seseorang jika mereka lupa diri dan lupa jalan pulang ke akhirat.
Dunia begitu manis dan lazat sehingga mampu mempengaruhi manusia ke tahap mabuk yang teruk dan seterusnya lupa kepada akhirat, walaupun al-Quran sudah mengingatkan manusia dengan ayat yang mendekatkan mereka kepada alam akhirat, namun rangsangan dunia terbukti mampu memutuskan tali ingatan itu perlahan-lahan.
Semakin manusia lalai dan lupa, maka semakin sakitlah jiwa, kerana jiwa itu sebenarnya rindu kepada akhirat tetapi dipaksa juga cinta kepada dunia. Sungguh anehnya manusia kini, mencari ketenangan dengan mengikut hawa nafsunya menerusi harta, hiburan, wanita, perniagaan dan mengikuti ajaran sesat serta menyeleweng daripada al-Quran dan hadis yang menyebabkan jiwa mereka semakin gelisah.
Ia bagaikan dadah yang memberi ketenangan sekejap saja kemudian semakin melaratlah jiwa tanpa bimbingan wahyu. Ada pula yang mencuba pelbagai teknik untuk mendapat ketenangan jiwa, seperti meditasi gaya Hindu Buddha, mengamal tarekat songsang, menokok tambah amalan ibadat yang kononnya memberi kepuasan lebih kepada jiwa.
Kesihatan roh dan jiwa hanya dapat dirasai dengan disiplin dalam menjaga iman. Usaha menilai diri dan mengenal pasti keadaan iman setiap masa adalah amalan Rasulullah SAW dan sahabat. Pelik tetapi benar, keadaan manusia zaman sekarang boleh berdisiplin untuk kebaikan dunianya, tetapi menyerah kalah untuk iman.
Mereka boleh berdisiplin menjaga diet pemakanan, bersungguh mencergaskan badan dengan senaman, susah payah hadir dalam kelas pendidikan, mengikuti kursus keusahawanan, bergiat mencapai cita-cita, tetapi malangnya tidak pandai berdisiplin menjaga keimanan.
Sembahyang dilakukan apabila perlu, majlis ilmu agama dipinggirkan berbanding ilmu dunia, usaha mencari hidayah ditinggalkan kerana terlalu sibuk mencari habuan dunia. Bagaimana mungkin jiwa akan tenang dalam keadaan sebegini? Tiada disiplin dalam mencari akhirat.
Iman dan hidayah boleh bertambah serta berkurang bergantung sejauh mana seseorang berusaha mengekalkan dan mempertingkatkannya. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berjihad mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang yang berbuat baik" (Surah al-Ankabut, ayat 69)
Akhir kata renung-renungkanlah dan Marilah Kembali ke Pangkuan Jalan Lurus....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment