Feb 16, 2011

Kisah Luqman Al-Hakim dengan telatah manusia





Dalam sebuah hadith menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk kedalam pasar dengan menaiki seekor himar manakala anaknya mengikut beliau dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu setengah orang pun berkata : "Lihat orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki".

   Setelah mendengar desas desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya lalu diletakkan pula anaknya di atas himar itu. Melihatkan yang demikian itu maka orang ramai dipasar itu pula berkata : 
"Lihatlah orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu".

   Sebaik saja mendengar kata-kata itu Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi : 
"Lihatlah tu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu".

   Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang maka Luqman dan anaknya pun turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata : 
"Dua orang berjalan kaki sedangkan himar itu tidak ditunggangi".

   Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang kerumah Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, lalu katanya : 
"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia... maka orang yang berakal tidaklah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran maka kebenaran itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu". Kemudia Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya :"Wahai anakku tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang ugamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilanglah kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya".

2 comments: